Legasi politik Muhyiddin dihumban ke bakul sampah sejarah

MP Pasir Gudang: Legasi politik Muhyiddin dihumban ke bakul sampah sejarah

Diterbitkan: Feb 3, 2022

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim mengkritik bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin kerana peranannya dalam menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen PKR itu mengimbas kembali bagaimana Dr Mahathir Mohamad mungkir janji untuk menyerahkan jawatan tertinggi kepada pemimpin PKR Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ia menyebabkan Bersatu keluar daripada gabungan PH yang dipimpin oleh Muhyiddin.

Muhyiddin kemudiannya menyingkirkan Mahathir daripada Bersatu, yang memberi laluan kepada ahli parlimen Pagoh itu menjadi perdana menteri kelapan negara.

“Apakah balasan perbuatan Muhyiddin yang mungkir janji itu?

“Muhyiddin tidak kekal lama sebagai perdana menteri. Hanya setahun lebih sahaja iaitu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana rakyat terkurung, parlimen digantung dan Darurat diisytiharkan di seluruh negara.

“Kemudian sampai masa giliran Muhyiddin pula ditumbangkan. Kini giliran Umno pula menggulingkan Muhyiddin. Lima belas orang ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin di Parlimen.

“Muhyiddin terpaksa letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin runtuh seperti daun terup menyembah ke bumi.

“Demikianlah pengajaran kepada Mahathir dan Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik Leon Trotsky, Hassan berkata tindakan politik yang tidak beretika dan mungkir janji telah menyebabkan legasi politik Mahathir dan Muhyiddin dibuang ke dalam “bakul sampah sejarah”.

Kenyataan Hassan itu susulan perbalahan antara PAS, Umno dan Bersatu menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Pergeseran antara PAS dan Umno semakin ketara sejak PRN Melaka November lalu, yang menyaksikan kedua-dua parti bersaing sesama sendiri. Akhirnya Umno menang dan PAS ditewaskan.

Berikutan itu, terdapat usaha baru oleh PAS untuk mengadakan pakatan pilihan raya bagi PRN Johor akan datang tetapi Umno dilihat tidak tertarik dengan idea itu.

Hubungan antara PAS dan Umno dilihat kembali terjalin apabila Najib Razak menjadi presiden Umno dan seterusnya pada pertengahan penggal 2013-2018 menjadi perdana menteri.

Kerjasama antara kedua-dua parti mencapai kemuncaknya pada September 2019 dengan pemeteraian piagam Muafakat Nasional – yang pada mulanya dilihat berpotensi menjadi pakatan pilihan raya rasmi.

Bagaimanapun, ketegangan meningkat selepas PAS secara rasmi menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai parti serpihan Umno, Bersatu.

Perhimpunan Agung Umno pada 2021 telah memutuskan bahawa parti itu tidak boleh menjalin pakatan pilihan raya dengan Bersatu.

https://www.malaysiakini.com/news/609359

Tinggalkan komen

Design a site like this with WordPress.com
Mulakan